Pihak berkuasa Filipina menafikan laporan media antarabangsa yang mendakwa ratusan Tentera Diraja Sulu (RSA) merancang untuk menyerang Sabah, Februari tahun depan.

Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana menegaskan laporan mengenai pencerobohan tersebut adalah ‘berita palsu’.

Jurucakap Tentera Sulu di Filipina, Leftenan Jerrica Angela Manongdo pula berkata, laporan media tersebut langsung ‘tidak mempunyai asas’ yang kukuh.

“Kami meneliti laporan itu segera apabila mengetahui berita tersebut. Berdasarkan maklumat yang kami kumpul, tiada rancangan seperti yang dimaksudkan.

“Kami tidak tahu apakah motif di sebalik laporan tersebut,” katanya kepada Arab News.

Dalam perkembangan sama, Manongdo mengesahkan Datuk Bandar Filipina mengadakan mesyuarat awal bulan lalu, tetapi hanya bertujuan membincangkan cara memperkukuhkan sempadan maritim di kepulauan itu dan persediaan menghadapi bencana.

“Ketua eksekutif tempatan bertanggungjawab dalam pengambilan nelayan atau sukarelawan pelaut untuk menjalankan rondaan maritim dengan kerjasama tentera Sulu bagi meningkatkan kawalan sempadan daripada ancaman pengganas,” jelasnya. – UTUSAN