Kebersamaan tiga gabungan parti gergasi Melayu Islam, PAS, UMNO Dan Bersatu di bawah payung Muafakat Nasional serta Perikatan Nasional adalah sangat diperlukan dalam mendepani era musuh yang meranapkan fitrah manusia kini.

Pengerusi Dewan Ulama PAS Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pakatan itu menjadi wadah politik di negara ini sekarang yang membolehkan umat Islam dapat bersatu di bawah pakatan tersebut.

“Kami berharap pakatan tersebut mampu terus dipertahankan,” katanya program solat hajat anjuran Dewan Ulamak di Masjid Pengadang Baru malam ini.

Program itu diadakan sempena sambutan ulangtahun ke-70 PAS yang diadakan hari ini dan esok. Program terbabit yang bermula pagi tadi dengan pelbagai aktiviti anak-anak muda yang dikendalikan Dewan Pemuda PAS Terengganu dan Pemuda PAS Malaysia.

Acara kemuncaknya petang esok dengan ucapan oleh Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada program yang akan diadakan Pulau Wan Man. Sebelum itu ucapan pesuruhjaya PAS negeri-negeri.

Program anjuran Dewan Ulamak bermula Maghrib turut diadakan kuliah khas disampaikan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato Ahmad Marzuk Shaary. Manakala solat hajat diimamkan Dr Nik Zawawi.

Pada doa solat hajat tersebut Ketua Dewan Ulamak mendoakan semoga pemimpin-pemimpin utama PAS temasuk presiden dan Mursyidul Am PAS Dato Tuan Guru Hashim diberi kesihatan yang baik.

Tamat