Pembaharuan demi pembaharuan sentiasa dilakukan demi satu pembagunan modal insan Islam berteraskan revolusi yang mencakna minda zaman pembabitan PAS parti bertunjangkan akidah serta semangat harmoni masyarakat Malaysia.

Gerakan ini kini semakin mendapat perhatian, apabila suara anak muda sentiasa mendapat perhatian ulama serta para asatizah dari sekecil perkara sehingga ke perkara dasar.

Ya anak muda kini professional, pembabitan mereka dilihat dominan dalam pengurusan serta gerak kerja parti tanpa mengabaikan orang lama, pemikiran mereka kreatif dan kritis sambil dipandu oleh ulama.

Oleh itu pemuda di semua peringkat dipelawa menyertai Ulang Tahun Penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kali ke-70, yang bakal diadakan di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, esok.

Namun, sempena sambutan itu, pada hari ini Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) mengadakan pelbagai aktiviti program ‘pemanas’ badan bagi menjayakan program ulang tahun PAS itu di pekarangan, Kompleks Sukan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus.

Ketua Pemuda PAS Kuala Nerus, Ustaz Mohd Riduan Abu Bakar berkata, pelbagai acara dan pengisian program yang menarik disediakan kepada para pemuda sempena sambutan 70 tahun tersebut.

“Para Pemuda usah lepaskan peluang ini untuk bersama kita meletakkan nama kita (anak muda) sebagai tetamu yang hadir. Tempat yang strategik juga sesuai untuk membawa ahli keluarga datang melancong ke bumi Kuala Nerus.

“Kuala Nerus salah satu daerah yang paling bongsu di negeri Terengganu juga mempunyai tempat warisan sejarah, seni binaan lama, pantai peranginan, gunung yang boleh diterokai dan bermacam-macam aktiviti yang boleh meluaskan pengalaman.

“Antara pengisian program kita, kayuhan basikal monsunride, pertandingan liga penalti, malam kebudayaan, konvoi bermotor, himpunan semut merah (Amal), pameran pacuan empat (4×4) roda, ‘creative content’, pentas anak muda, pembarisan kehormat, konvoi bermotor mengiringi Tuan Guru Presiden, pertandingan pidato piala Presiden #70PAS,” ujarnya, semalam.

Namun, katanya pematuhan dan kawalan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan peraturan Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang selari dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan dilaksanakan tegas dan berhemah.

Menurut Ustaz Riduan, tujuan parti mengadakan program sambutan itu bagi mengingatkan generasi muda hari ini tentang sejarah pahit manis perjuangan PAS sejak ditubuhkan tahun 1951 hingga sekarang.

“Kemuncak majlis sambutan 70 tahun PAS ini akan diadakan di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man bagi mendengar taujihat dan pesan nasihat kepimpinan tertinggi parti kepada kita semua.

“Usia 70 tahun bukanlah masa yang pendek tetapi adalah tempoh kematangan sesebuah organisasi yang didukungi oleh para ulama dan tok-tok guru berpandukan dasar Islam sebagai matlamat hidup,” tegasnya.

Katanya, kehadiran para pemuda dari seluruh negeri hendaklah dalam kawalan serta mematuhi segala arahan kepimpinan parti agar nama baik PAS tetap terpelihara dan dihormat

Tamat