Sikap istiqamah dan ikhlas guru-guru pondok dahulu perlu dipertahankan sehingga sekarang bagi menyemarak syiar slam di negara ini.

Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Malaysia Ustaz Mokhtar Senik berkata, sikap istiqamah dan ikhlas membolehkan syiar Islam terus berkembang di negara ini sehingga sekarang.

Katanya sekarang institusi pondok dimarak lagi dengan digerak pula ulama-ulama muda selepas institusi itu malap ketika era penjajahan.

“Pondok kembali digemilangkan semula setelah tenggelam ekoran kedatangan penjajah Portugis pada 1511 kemudian diikuti kehadiran Belanda dan Inggeris di Tanah Melayu,” katanya Ijtimak Ulama dan Tuan Guru Pondok Malaysia hari ini.

Ijtimak tersebut diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun PAS ke-70 di Kompleks Tarbiah Darul Taqwa di Batu Enam hari ini.

Mokhtar juga berkara, sejarah kewujudan pondok di Tanah Melayu sebenarnya bermula di Melaka di mana diwujudkan pada awal abad ke-14.

Katanya perkembangan pondok di Melaka semakin marak setelah Raja Melaka ketika itu Parameswara menganut Islam.

“Bermula dari situ ulama-ulama diberi tempat dalam pentadbiran kerajaan Melaka. Sultan Melaka yang paling alim ketika itu Alaudin Riayat Shah sehingga dikaitkan dengan empayar Ottomaniah di Turki,” ujarnya

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Dato Ahmad Yahaya pula berkata, terlalu besar peranan guru-guru pondok bagi mengasas, menyebar dan mengembang PAS sehingga berada di arus perdana tampuk kuasa.

Katanya juga PAS 70 tahun diusung para ulama untuk diletakkan di tengah tengah masyarakat sebagai sebuah gerakan Islam yang berpengaruh di negara ini.

“Para ulama terus menjaga keaslian perjuangan sehingga ia terus membesar dengan segar dan rimbun untuk menaungi ummah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/12/2021