Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat keputusan untuk menggugurkan keanggotaan tiga ahlinya yang bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.

Ini bermakna, Ketua Bersatu Hulu Rajang, Siki Balarik yang bertanding di Belaga; Ketua Bersatu Samarahan, Ismawi Muhammad (Muara Tuang) dan aktivis Bersatu, Ricky Enteri (Bawang Assan) bukan lagi ahli Bersatu.

Pengerusi Bersatu Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, keanggotaan mereka dianggap gugur secara automatik selepas enggan menarik diri daripada bertanding di kerusi masing-masing.

“Mereka telah pun digugurkan keanggotaan secara automatik menurut Perlembagaan Bersatu. Kita telah memberikan mereka masa dan peluang untuk menarik diri tapi tiada tindakan dibuat mereka, jadi keahlian mereka telah gugur.

“Jadi, tiada ahli Bersatu yang bertanding. Bersatu tetap dengan pendirian tidak bertanding pada PRN Sarawak,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Minggu lalu, Bersatu dikejutkan dengan kemunculan empat ahlinya yang bertanding sebagai calon Bebas termasuk Datuk Ali Biju di Krian.

Tindakan mereka bertentangan dengan pendirian Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memutuskan bahawa parti itu tidak bertanding pada PRN kali ini sebaliknya memberi sokongan penuh kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Namun, hanya Ali yang menarik diri daripada bertanding Bebas dan memberikan sokongan penuh kepada calon GPS, Friday Belik di Krian, manakala tiga lagi ahli Bersatu enggan menarik diri. – UTUSAN ONLINE