Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan COVID-19 untuk sambutan Thaipusam, termasuk kavadi dan perarakan kereta kuda, akan diumumkan oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique tidak lama lagi, menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan.

“Semalam, Halimah mengadakan pertemuan dengan ketua agama Hindu dan wakil kuil selepas mesyuarat Kabinet dan pelbagai perkara dibincangkan,” kata timbalan presiden MIC kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat tahunan perwakilan sayap Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC di Wisma MCA semalam.

Saravanan juga berkata semalam beliau sendiri telah bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dan pada dasarnya menerima maklum balas positif berhubung perarakan Thaipusam daripadanya.

Beliau berkata satu mesyuarat akan diadakan Selasa depan dengan ketua agama Hindu dan wakil kuil untuk membincangkan perkara berkaitan sambutan itu.

Pada 7 Disember, Halimah di Dewan Rakyat memaklumkan semua perarakan perayaan, termasuk perarakan kavadi untuk Thaipusam dan Chingay sempena Tahun Baharu Cina tidak dibenarkan kerana negara kini berdepan ancaman varian baharu COVID-19, Omicron.

Bagaimanapun, selepas menerima kritikan pelbagai pihak, Kementerian Perpaduan mengeluarkan kenyataan bahawa SOP COVID-19 bagi sambutan Thaipusam masih belum dimuktamadkan. Thaipusam akan disambut pada 18 Januari.