Harta dan barangan milik usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali Nur Sajat yang disita mula dilelong, pagi ini.

Tinjauan Harian Metro di kediaman Sajat, mendapati pembida atau pembeli harta lelong itu mula hadir ke kediaman usahawan terbabit bermula jam 9.30 pagi.

Pembida perlu menyediakan wang tunai RM5,000 sebelum dibenarkan masuk ke kawasan rumah banglo dua tingkat di No 2, Jalan Polo 10/3, Kota Damansara dan mereka yang menyertai proses lelongan itu dibawa meninjau barangan dilelong.

Bagaimanapun, proses pendaftaran lelongan barangan yang disita sejak dua minggu lalu itu ditutup pada jam 10.45 pagi tadi.

Difahamkan, setiap pembida perlu membeli kesemua barangan bernilai lebih RM70,000 dan pembelian satu unit barangan saja tidak dibenarkan.

Menurut perisytiharan jualan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada 8 Disember lalu, mahkamah memerintahkan lelongan awam dilaksanakan.

Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zukifili dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors dalam kenyataannya berkata, selaku peguam kepada plaintif OWA Resources Sdn Bhd, pihak defendan didapati tidak membuat pembayaran selepas writ penyitaan dan penjualan ditampal di premis Muhammad Sajjad pada 14 Disember lalu.

Nurwati Hussin, 41, dan Mohamed Syakir Hussin, 32, dari OWA Resources iaitu bekas stokis utama perniagaan bengkung dan girdle milik Muhammad Sajat cuba mendapatkan semula wang mereka selepas pampasan RM200,000 gagal dibayar usahawan itu.

Lelongan aset berkenaan adalah cara penyelesaian bagi menebus pampasan yang perlu dibayar oleh defendan. – HARIAN METRO