Sekurang-kurangnya seorang disahkan meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 varian Omicron di Britain, kata Perdana Menteri Boris Johnson pada Isnin, lapor Xinhua.

Beliau berkata demikian ketika melawat klinik vaksin di Paddington, barat London.

Sebelum itu, Setiausaha Kesihatan, Sajid Javid berkata, terdapat 10 orang di rawat di hospital selepas dijangkiti varian Omicron sambil memberi amaran bahawa kes kemasukan ke hospital dan kematian dijangka meningkat.

Menurut Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) umur pesakit itu antara 18 dan 85 tahun.

UKHSA pada Isnin mengesahkan 1,576 kes Omicron turut dilaporkan di Britain, peningkatan harian terbesar sejak varian Covid-19 dikesan di negara itu, menjadikan 4,713 kes dicatatkan di negara ini.

Britain melaporkan 54,661 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 10,873,468, menurut angka rasmi yang dikeluarkan Isnin.

Negara itu juga melaporkan 38 lagi korban akibat Covid-19 menjadikan keseluruhan kematian ini berjumlah 146,477, dengan 7,372 pesakit masih di hospital.

Tahap amaran Covid UK telah dinaikkan daripada Tahap Tiga kepada Tahap Empat, tahap kedua tertinggi, “berdasarkan peningkatan ketara dalam kes Omicron”, menurut empat pegawai perubatan dalam satu kenyataan bersama pada Ahad.

– Bernama