Parti Warisan Sabah (Warisan) peringkat nasional akan dilancarkan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur pada Jumaat ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ramai beranggapan parti itu tidak akan bertahan lama, tiada kekuatan dan tidak relevan ketika ditubuhkan pada tahun 2016.

“Warisan bukan saja berjaya mentadbir kerajaan negeri Sabah dengan baik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), malah berjaya memperjuangkan hak-hak serta membawa suara rakyat di dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan lebih kuat dan lantang.

“Ini yang akan kita teruskan, memberikan pilihan kepada rakyat supaya dapat menilai kualiti barisan kepimpinan negara pada hari ini,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau pada malam Selasa.

Mohd Shafie berkata, beliau yakin dan percaya negara mampu mencapai banyak lagi kejayaan jika semua rakyat berpadu.

“Ketepikan perbedaan baik dari segi kaum, agama dan bangsanya. Anak cucu kita layak mendapat yang lebih baik untuk masa depan mereka.

“Insya-Allah, majlis pelancaran Parti Warisan peringkat nasional akan diadakan pada Jumaat ini,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Shafie memaklumkan Warisan akan melebarkan sayapnya ke Semenanjung.

Bagaimanapun, ketika ditanya pemberita berhubung negeri pertama bagi majlis pelancaran itu, beliau memaklumkan perkara itu akan diberitahu kelak.