Sebuah bot terbalik di kedudukan 5.5 batu nautika barat daya Jeti Tanjung Dawai, sekitar jam 12.20 tengah hari tadi.
menyebabkan seorang mangsa maut dan lima lagi berjaya diselamatkan APMM.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, telah menerima panggilan telefon daripada pemilik bot terbabit, Mohamad Amirul Asyrad sekitar jam 11.15 pagi mengenai insiden dan dimaklumkan seorang daripada mangsa telah hilang.
Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada jam 11.35 pagi.
Lima mangsa selamat ialah tekong bot Che Roslan bin Hashim, 49, bersama empat kru, Mohd Firdaus bin Zainal Abidin, 36, Engku Mohamad Farizam bin Fadilah, 19, Zulkifli bin Ahmad , 45, dan Hafizul bin Ajis Samsudin, 31. Manakala mangsa yang lemas dan meninggal dunia ialah Muhamad Ridhwan bin Mokhtar, 38, dibawa balik ke Jeti Tanjung Dawai untuk proses sanitasi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Pihak Maritim menggunakan aset Bot PERKASA 1221 Maritim Negeri Pulau Pinang dan bot PERKASA 1226 Zon Maritim Kuala Kedah telah diatur gerak ke lokasi kejadian.
Salah seorang daripada mangsa mengalami kecederaan ringan telah dibawa oleh bot nelayan tempatan ke jeti berhampiran dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk rawatan lanjut, manakala empat lagi mangsa dibenarkan pulang ke rumah bersama waris.
Maritim Malaysia mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).
Zon Maritim Kuala Kedah meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.
Tamat