Kerjasama serampang dua mata Pas dengan Bersatu dan UMNO bukan kerana parti itu tidak berpendirian apatah lagi mahu menumpang kekuatan parti lain.

Tetapi tegas Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin, tindakan itu adalah untuk memastikan ada jambatan antara kedua-duanya demi memastikan kelangsungan dan keutuhan politik Melayu di tanah air ini.

“Dalam erti kata lain, Pas menjadi titik tengah, kita tidak pernah mengetepikan atau membuang salah satu daripadanya.

“Kedua-duanya mesti bersama di bawah satu payung kerana kita tahu dengan ketiga-tiga ini (Pas, Bersatu, UMNO) bersatu maka insyaAllah, wabi’iznillah, dengan izin Allah, Pakatan Harapan tidak akan ada harapan dalam Pilihan Raya Umum (PRU15),” katanya.

Sepanjang 70 tahun bertapak dalam arena politik negara, hubungan Pas dengan UMNO sentiasa bertaut, sama ada menjauh atau mendekat sahaja kerana kalau dilihat sejarahnya, kedua-duanya dari akar yang sama.

Maka apa pun berlaku, kata Khairil, Pas akan tetap berusaha memastikan hubungan itu terjalin malah cuba untuk mencari titik temu yang dapat mengeratkannya lagi untuk bergerak menuju PRU15 dan ke hadapan.

“Pas akan terus berusaha menyatukan UMNO dan juga Bersatu di bawah satu perikatan, satu gabungan di dalam PRU15 tanpa mengetepikan rakan-rakan daripada NGO dan pempengaruh, yang boleh bersama dengan prinsip kesepakatan Pas,” katanya.