KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat pra-kabinet di Istana Negara.
Istana Negara dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook memaklumkan, sesi Jumaat berlangsung selama sejam bermula 8 pagi.
“Mesyuarat pra-kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama perdana menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan,” menurut kenyataan itu.
Turut dimuat naik, tiga keping gambar menunjukkan Ismail Sabri mengadakan perbincangan bersama Seri Paduka.
Sumber- Bernama