Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh majoriti mudah dengan menang 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak pada Sabtu.

Dengan bilangan itu, GPS yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) mempunyai kelebihan tiga kerusi daripada majoriti mudah 45 kerusi daripada keseluruhan 82 kerusi DUN.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh, ketika mengumumkan kedudukan kerusi berdasarkan keputusan pilihan raya itu berkata, GPS berjaya memperolehi satu majoriti melebihi 50 peratus kerusi dipertandingkan.

“Setakat 8.45 malam, GPS telah memenangi 45 daripada 82 kerusi. Sehubungan itu GPS berjaya memperoleh satu majoriti melebihi 50 peratus daripada kerusi dipertandingkan,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Iskandar.

Ditanya mengenai peratusan keluar mengundi, katanya satu sidang media akan diadakan memperincikan mengenai keseluruhan perjalanan pilihan raya.