Polis Daerah Ampang Jaya, kini dalam keadaan siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan pelepasan air dari Empangan Klang Gate, Hulu Kelang, yang dilaporkan melepasi tahap bahaya.

Setakat ini sebanyak 25 peratus dari jumlah keseluruhan air dalam empangan berkenaan sudah dilepaskan secara berperingkat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, semua pegawai dan anggota di daerah Ampang Jaya diletakkan dalam keadaan siap sedia berhubung segala kemungkinan yang bakal berlaku susulan tindakan pelepasan air empangan.

“Pada masa ini keseluruhan kekuatan kita adalah membabitkan lima pegawai dan 32 anggota dari Balai Polis Melawati, Balai Polis Hulu Kelang, Balai Polis Ampang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, sendiri.

“Semua pegawai dan anggota itu akan terbabit dalam menghadapi sebarang kemungkinan khususnya di Taman Melawati dan kawasan berhampiran,” katanya semalam.

Mohamad Farouk berkata, proses pertama pelepasan air dilakukan pada jam 11.50 malam.

“Sehubungan itu, saya meminta orang ramai untuk tidak panik dan pelaksanaan proses melepaskan air empangan dilaksanakan secara berhati-hati mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.

Katanya, sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini, semua pegawai dan anggota akan segera dikerahkan pada bila-bila masa untuk bantuan kepada orang ramai khususnya penduduk di kawasan pentadbiran IPD Ampang Jaya.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa nyawa dan keselamatan diri serta keluarga anda menjadi keutamaan kami berbanding dokumen penting dan harta benda yang mungkin rosak akibat bencana,” katanya,

Tamat