Perah keringat tiga jam bertarung dengan alun banjir bagi menghantar bantuan makanan dan barang keperluan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Lubuk Kulit, Lipis, pada awal pagi pada Isnin.

Inilah yang terpaksa dilalui oleh Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Lipis dari depoh bekalan di Lipis ke pusat pemindahan itu terpaksa menggunakan laluan lain yang jauh ekoran laluan sedia ada dinaiki air.

Sampan juga terpaksa digunakan untuk membawa bekalan ekoran kedudukan PPS Kg Lubuk Kulit yang terkepung dengan banjir.

Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin mengakui proses penghantaran amat mencabar dan berisiko.

“Dari depoh kita bawa bekalan menggunakan kenderaan darat melalui laluan termasuk dalam kawasan Felda untuk sampai ke lokasi terdekat.

“Dari situ bekalan diangkut menggunakan sampan untuk sampai ke lokasi,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Zulkhairi menjelaskan, penghantaran ini amat berisiko kerana perjalanan dilakukan pada awal pagi dalam keadaan persekitaran yang gelap.

Tamat