Seramai 456 orang mangsa yang terjejas banjir di Negeri Sembilan masih lagi ditempatkan di 11 buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di empat buah daerah di negeri ini.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan menerusi maklumat yang dikongsikan pagi ini memaklumkan, kesemua mereka yang terjejas daripada 102 keluarga dengan daerah Port Dickson mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 214 orang.

“Mangsa banjir di Port Dickson masih lagi ditempatkan di lima buah PPS yang dibuka iaitu di Balai Raya Permatang Pasir, Sekolah Kebangsaan (SK) Jimah Lama, Balai Raya Kampung Sungai Raya dan Balai Raya Kampung Pengkalan Durian dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Mohd. Yusof,” katanya.

APM Negeri Sembilan dalam pada itu memaklumkan, selain kejadian banjir kilat beberapa insiden tanah runtuh dan kerosakan jalan dilaporkan yang menyebabkan laluan terputus hubungan.

Ia termasuk kejadian tanah runtuh di Bukit Tangga, Jelebu yang masih lagi belum dibuka untuk laluan trafik selain kejadian jambatan runtuh di Kampung Puom, Chennah, Jelebu dan jalan mendap di Jalan Genting Peras juga di Jelebu. -UTUSAN ONLINE