Bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Tan Sri Azman Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (LTH) berkuatkuasa hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata, Azman mempunyai pengalaman yang luas dalam menguruskan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan korporat.

Menurutnya, selain Khazanah Nasional beliau juga pernah dilantik debagai Pengerusi Pusat Pendidikan Antarabangsa Kewangan Islam (INCEIF) dan Pengerusi Axiata Group Berhad.

Selain itu terlibat dalam persidangan kebangsaan seperti Majlis Pemulihan Negara, Majlis Kemakmuran Bumiputera dan Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama.

“Beliau juga merupakan Felo Pelawat Terhormat Pusat Pengajian Pembangunan Universiti Cambridge dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTM,” katanya pada kenyataan hari ini.

Azman dilahirkan pada 23 Januari 1961 di Melaka mendapat pendidikan tinggi Diploma Siswazah dalam Kajian Islam (UIA) dan Kursus Sarjana Falsafah dalam Kajian Pembangunan (Kolej Darwin, Universiti Cambridge United Kingdom) melalui Biasiswa Chavening.

“Tertakluk di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), beliau dan LTH akan bertanggungjawab untuk mentadbir segala yang berkenaan dengan urusan jemaah haji.

“Juga bertanggungjawab ke atas tadbir urus korporat termasuk hala tuju pembangunan strategik TH.

“Saya mengucap tahniah kepada Tan Sri Azman di atas pelantikan ini. Semoga Allah SWT sentiasa memandu setiap gerak kerja yang dilakukan,” ujarnya.

Azman juga Fellow Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA), United Kingdom, serta ahli profesional Penganalisis Kewangan Bertauliah (CFA).

Antara 1994 dan 1998, beliau merupakan Pengarah dan Ketua Penyelidikan untuk Union Bank of Switzerland di Malaysia sebelum menjadi Ketua Penyelidikan di Salomon Smith Barney yang berpusat di Malaysia antara tahun 1998 hingga tahun 2002.

Beliau kemudian menjadi Pengarah Urusan BinaFikir Sdn. Bhd. sehingga Mei 2004 sebelum menyertai Khazanah Nasional.