Fenomena kepala air di kawasan chalet di Bentong, Pahang kini diperluaskan dalam usaha mencari mangsa dengan bantuan anjing pengesan.

Gerakan mengesan mangsa yang dikhuatiri masih hilang dari pusat peranginan Bobby Eco Camp dan seorang lagi dalam kejadian berasingan di Telemong, disambung semula pada jam 7 pagi tadi.

Dalam satu lagi operasi di Kuantan, anggota penyelamat sedang giat berusaha mencari seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dari jambatan di Sungai Belat pada 18 Disember lalu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, tiga orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dihanyutkan kepala air yang mengalir ke sungai dalam kawasan pusat peranginan Bobby Eco Camp, kira-kira jam 10.40 malam Sabtu lalu.

“Tiga mangsa ialah sepasang suami isteri yang juga pemilik resort berkenaan dan seorang budak lelaki yang datang ke resort itu bersama keluarganya. Kawasan pencarian telah diperluaskan sehingga melebihi 1 kometer dengan tambahan tenaga kerja dan bantuan empat anjing pengesan,” katanya.

Beliau berkata, operasi di Telemong memasuki hari ketiga bagi mengesan seorang warga emas yang juga antara 16 individu dihanyutkan arus deras sungai ketika berada di atas jambatan di Sungai Telemong, kira-kira jam 2 pagi Ahad lalu.

“Dalam kejadian itu, 10 orang berjaya diselamatkan, manakala lima lagi dilaporkan maut. Mayat pertama ditemui pada Ahad lalu, diikuti empat lagi semalam. Ada antara mayat ditemui tersepit di celah-celah dahan pokok,” katanya menambah, banjir sudah surut di kebanyakan kawasan dan pencarian diperluaskan untuk mengesan mangsa terakhir.

Di Kuantan, anggota penyelamat masih mencari Mohd Firdaus Supiardi, 26, yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari jambatan dan dihanyutkan arus deras di Sungai Belat dekat Kampung Sri Damai di sini pada 18 Disember.

Tamat