Bimbang berlaku insiden lain yang tak diingini, pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat terpaksa memilih kaedah lain bagi operasi menyelamatkan mangsa banjir di Sri Muda, Shah Alam.

Penguasa Kanan Bomba II Pangkalan Udara Wilayah Tengah, Wahyudi Sayuhti, berkata, Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah cuba menggunakan helikopter untuk menyelamatkan mangsa banjir di lokasi itu namun ia didapati terlalu berbahaya.

“Awalnya kami cuba menggunakan kaedah ‘winching’ untuk mengeluarkan mangsa, namun angin daripada kipas helikopter akan mengakibatkan bumbung rumah tercabut.

“Jika keadaan luas dan terbuka, barulah teknik ini boleh diguna pakai seperti yang diaplikasikan di Karak dan Bentong.

“Tapi apabila kami gunakan kaedah sama di Sri Muda, kami dapati atap-atap rumah tertanggal dan membahayakan penduduk,” jelasnya.

Tambah Wahyudi, keadaan rumah yang terlalu rapat juga menyukarkan pihaknya untuk menggunakan kaedah winching dalam operasi itu, sebaliknya penggunaan bot lebih selamat.

“Ia (penyelamatan menggunakan helikopter) bergantung kepada keadaan semasa dan bentuk banggunan tersebut, kalau gunakan di kawasan beratap zink lebih bahaya,” katanya.

Ketika ini operasi menyelamatan sedang dijalankan menggunakan bot dan aset-aset air pelbagai agensi.

Tamat