Kawasan sekitar Jelebu hampir musnah akibat kejadian banjir dan tanah runtuh.

Tinjauan AMALmedia di sekitar jelebu mendapati banyak kerosakan telah dihadapi oleh penduduk disini.

Antaranya penduduk di Kampung Batu Serambai di mana ada di antara mereka tidak sempat menyelamatkan kenderaan masing-masing apabila lebih 10 kenderaan ditenggelami banjir.

Manakala pusat rekreasi popular dalam kalangan penduduk Negeri Sembilan, Taman Eko Rimba Jeram Toi turut mengalami kerosakan.

Banyak kerosakan telah berlaku di kawasan hutan lipur tersebut termasuk runtuhan infrastruktur malah pintu gerbangnya turut lenyap.

Pemandangan air terjun dan sungai yang sebelum ini jernih kini bertukar berlumpur serta berselut.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaludin berkata, pihaknya kini sedang menilai kerosakan disebabkan kejadian tanah runtuh berkenaan.

“Untuk makluman awal kerajaan negeri telah mengarahkan semua hutan lipur ditutup sementara bermula hari ini ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak memandangkan keadaan cuaca yang berterusan hujan.

“Kami juga menasihatkan agar orang ramai tidak mendekati semua kawasan hutan lipur dan kawasan pendakian buat masa ini sehingga dimaklumkan oleh pihak jabatan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya