Seramai dua pegawai dan 23 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (15 RAMD) diaturgerak membantu mangsa banjir di Taman Negeri Kenaboi, Jelebu pada 20 Dis 2021.

Terdahulu, beberapa anggota tentera menemui tiga orang awam yang sedang mencari bekalan makanan pada jam 1115.

Susulan daripada itu, satu kumpulan tinjau diaturgerak untuk mencari laluan masuk dan mengenal pasti jumlah orang awam yang memerlukan bantuan.

Kumpulan tinjau akhirnya berjaya menemui 50 orang awam yang terperangkap dan terputus bekalan makanan serta ubatan sejak dilanda banjir dua hari yang lepas.

Bantuan bekalan makanan serta ubat-ubatan seterusnya dibawa masuk ke Taman Negeri Kenaboi bagi membantu mangsa yang terlibat.

Seramai 31 orang bersetuju untuk dibawa keluar dan ditempatkan di Kem Rekreasi Bukit Perjuangan, manakala baki 19 orang yang enggan keluar telah dimaklumkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Jelebu untuk tindakan selanjutnya.

Gerakan mencari dan menyelamat seperti ini sejajar dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam.