KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini menitahkan agensi kerajaan yang berkaitan supaya tidak leka dan lebih proaktif melaksanakan tanggungjawab menyelamatkan mangsa banjir.

Seri Paduka bertitah, ia termasuk dalam menyampaikan bantuan kepada mangsa terperangkap, meliputi mereka yang berada di kawasan pedalaman.

Menerusi catatan dimuat naik dalam laman Facebook Istana Negara, baginda turut mengulangi titah agar ujian saringan COVID-19 dilakukan terhadap mangsa banjir di semua pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memastikan tiada kluster baharu tercetus.

Al-Sultan Abdullah juga mengingatkan semua pihak di PPS supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Seri Paduka turut menzahirkan simpati kepada mangsa banjir, dan menasihati rakyat agar mematuhi semua arahan serta perintah dikeluarkan kerajaan demi keselamatan diri dan keluarga tersayang,” menurut catatan itu.

Baginda sekali gus mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama mendoakan untuk situasi banjir serta cuaca buruk di negara ini tidak berlarutan dan segera berakhir.

Catatan itu turut menyatakan Al-Sultan Abdullah menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi kerajaan yang membantu menguruskan mangsa banjir.

Terdahulu, Seri Paduka berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa banjir di lima PPS, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sungai, Pusat Kegiatan Wanita Batu Malim, Dewan Kampung Sega Lama, SK Muhammad Jabar di Dong dan Balai Raya Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong di Raub, Pahang.

Dalam lawatan itu, Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa hampir tiga jam menyantuni dan beramah mesra dengan mangsa banjir di lima PPS terbabit.

Baginda juga berkenan mengurniakan sumbangan kepada 277 keluarga di semua PPS berkenaan, dan berharap ia dapat mengurangkan beban ditanggung mangsa banjir.

“Keberangkatan Seri Paduka mencemar duli adalah cerminan keperibadian tinggi serta kasih kepada rakyat tanpa mengira masa, tempat dan cuaca,” menurut catatan itu.

Yang turut berangkat, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka di PPS pertama, SK Ulu Sungai, pada jam 12 tengah hari, disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak. – BERNAMA