Selepas dilanda bencana banjir pada 18 Disember lalu, kawasan daerah ini mula me­ngalami gangguan per­khidmatan telekomunikasi sehingga ia menyukarkan aktiviti seharian penduduk termasuk untuk urusan lepas banjir.

Sehingga ke hari ini, gangguan talian telefon dan internet masih lagi berlaku melibatkan perkhidmatan tiga buah syarikat telekomunikasi utama.

Seorang peniaga, Ah Kui Foo, 63, berkata, dia me­ngalami kesukaran untuk meng­hubungi pembekal barangan untuk kedai kopi yang diusahakannya yang terletak di pekan Kuala Klawang dekat sini.

“Susah hendak mendapatkan talian telefon sejak kejadian banjir berlaku. Saya menggunakan talian perkhidmatan Celcom dan menghadapi masalah sejak beberapa hari lalu.

“Sukar untuk saya menghubungi pembekal kerana saya membuka kedai makan dan minuman di pekan ini. Diharap­kan pihak bertanggungjawab dapat segera membaiki gangguan talian telekomunikasi kerana kami sukar untuk menghubungi sesiapa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dia yang tinggal di Taman Sri Jelebu dekat sini juga memaklumkan, ekoran talian telekomunikasi yang tidak stabil, dia kadangkala terpaksa ke tengah jalan semata-mata untuk mencari liputan talian.

“Saya perlu keluar dari kedai dan ke tengah jalan sekiranya mahu menghubungi sesiapa sejak dua hari lalu,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nornela Buyong, 50, pula berkata, dia terpaksa membeli kad sim baharu daripada syarikat te­lekomunikasi yang lain selepas talian yang digunakannya ketika ini mengalami gangguan sejak 18 Disember lalu.

“Penduduk yang menggunakan talian seperti saya juga sudah beralih kepada pengendali talian telekomunikasi yang lain tetapi kadangkala ia juga me­ngalami gangguan.

“Saya sebagai pengguna berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan isu ini dengan segera kerana ia benar-benar memberi kesukaran kepada kami,” katanya.

Difahamkan gangguan talian telekomunikasi yang berlaku adalah ekoran kejadian pokok tumbang dan tanah runtuh di daerah susulan kejadian hujan lebat dan banjir.