Sungguh memilukan apabila dua beranak hilang akhirnya ditemui tidak bernyawa apabila ditemui lemas di sebuah rumah teres satu tingkat pada 1.40 tengah hari di Taman Sri Muda, Shah Alam semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata dua mangsa terbaru itu merupakan dua beranak warga tempatan iaitu seorang bapa berusia 78 tahun dan anak perempuannya berusia 48 tahun.
Dua lagi kematian direkodkan di kawasan banjir Taman Sri Muda di Shah Alam menjadikan jumlah keseluruhan 14 korban mangsa banjir ditemukan dengan lapan daripadanya adalah lelaki dan baki enam wanita, setakat 6 petang tadi.
“Kita mendapat makluman tentang dua beranak ini daripada keluarga terdekat susulan mereka ini tidak dapat dihubungi sejak banjir melanda.
“Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat,” katanya dalam sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian 1 (PKTK 1) Taman Sri Muda, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Baharudin berkata seramai 4,276 mangsa banjir telah berjaya diselamatkan dengan 4,080 mangsa dihantar ke 18 pusat pemindahan sementara (PPS) manakala selebihnya memilih untuk berpindah ke rumah saudara dan sebagainya.
Tamat