SHAH ALAM – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) ‘diserang’ selepas didakwa lambat bertindak selain gagal menggerakkan aset lebih cepat dalam membantu penduduk yang terjejas di kawasan yang dilanda banjir.

Perkhidmatan kaji cuaca di tiga negara telah mencerap sistem tekanan rendah yang menyebabkan hujan selama berhari-hari dan memberi amaran kepada kerajaan tentang hujan lebat berterusan yang dijangka melanda.

Namun, kerajaan seolah-olah sepi terutama memberikan amaran kepada penduduk sekali gus menyebabkan ramai terperangkap dan lebih menyayat hati adalah berita mengenai mangsa banjir yang lemas dan meninggal dunia di beberapa kawasan yang dilanda banjir.

Bagi pakar meteorologi, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah beliau mempersoalkan di mana fungsi Nadma dan juga Majlis Keselamatan negara (MKN).

Menurutnya, kejadian bencana itu menunjukkan bahawa, selain sistem amaran dan tindak balas yang lebih berkesan, ada keperluan untuk kerajaan mengubah dasar dalam menangani dan mengurangkan kesan perubahan iklim, selain meningkatkan kesedaran masyarakat umum.

Sistem amaran awal amat penting untuk mengelakkan kerosakan yang teruk dan kehilangan nyawa. Untuk memastikan sistem itu berjaya, semua agensi berkaitan perlu berkomunikasi dengan lebih baik bagi memberi amaran kepada umum.

Azizan mendakwa semua agensi – Nadma, MetMalaysia serta Jabatan Pengairan dan Saliran gagal memberi amaran lebih awal kepada penduduk Lembah Klang walaupun mempunyai sistem amaran banjir yang baik.

Selain itu, Penyelidik perubahan iklim, Yin Shao Loong daripada Institut Penyelidikan Khazanah menyifatkan sistem amaran awal harus disertakan dengan langkah-langkah kesiapsiagaan dan tindak balas pantas oleh Nadma.

Beliau melihat beban tidak harus dilepaskan kepada orang ramai untuk menjaga kebajikan sendiri jika sumber kerajaan lembab bertindak.

Tamat

Sumber – SINAR HARIAN