Sejarah industri pertanian Malaysia perlu digarap dalam usaha memberi pendidikan kepada orang ramai selaras dengan usaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bercadang membina sebuah Muzium Pertanian pertama di negara.

Timbalan Menterinya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata muzium itu dicadangkan dibina di Kelantan selaras usaha negeri itu muncul sebagai negeri jelapang makanan, selain sebagai satu lagi produk pelancongan.

“Perbincangan awal telah dilakukan dan saya akan berjumpa Perdana Menteri untuk berbincang lebih lanjut untuk mewujudkan Muzium Pertanian. Saya harap cadangan ini menjadi kenyataan.

“Kertas kerja juga telah siap, cuma tunggu untuk kita bincang lanjut,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Keris Melayu Semenanjung sempena Pameran Koleksi Keris di Muzium Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Turut hadir Pegerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Abd Rahman dan Pengarah Muzium Negeri Kelantan, Ahmad Shargowi Derahman.

Dr Nik Muhammad Zawawi berkata,, muzium yang bakal dibina itu turut dicadangkan dinamakan sebagai Muzium Pertanian Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berhubung lokasi muzium yang akan dibina itu, katanya lokasi telah dikenal pasti yang bersesuaian dengan peralatan dan sebagainya untuk diperolehi.

“Warisan begini, kita ingin jaga supaya tidak berlalu begitu sahaja. Sekurang-kurangnya generasi muda akan ingat keringat datuk nenek moyang dahulu membesarkan kita hingga hari ini,” katanya.

Sementara itu, katanya MAFI juga akan memberi sumbangan RM1,000 kepada setiap keluarga penternak, petani di bawah MAFI yang terjejas teruk, sama ada rumah ditenggelami banjir atau kawasan yang diusahakan turut terjejas.

“Kita juga akan pertimbangkan menggantikan semula peralatan pertanian dan penternak yang terjejas disebabkan banjir,” katanya. –

Tamat