Semua aset serta pasukan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia kini bersiap siaga dalam menghadapi gelombang kedua banjir yang berkemungkinan berlaku di kawasan Hulu Langat, Selangor.

Ketua Bomba Zon Hulu Langat, Shahrin Yusmar Mat Yusof, berkata mereka sudah menerima amaran awal daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan berlaku hujan lebat di daerah itu hingga 29 Disember ini.

“Kita sudah bersiap siaga untuk menggerakkan pasukan dan aset pada bila-bila masa. Kita membuat persediaan di Bilik Gerakan Operasi Bencana Daerah bersama pasukan pengurusan bencana daerah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai dakwaan kenaikan air sungai di lokasi itu semalam, beliau berkata, berlaku aliran air yang banyak disebabkan hujan di Genting Peras.

“Semalam kita bertindak terhadap satu video yang tular, mengatakan berlaku kenaikan air Sungai Tuntung. Kita ke lokasi untuk mengenal pasti keadaan sebenar.

“Apabila tiba di lokasi, memang terdapat peningkatan sedikit tetapi ia kembali surut. Namun, pasukan bomba ditempatkan di Batu 20 dan Batu 21, berhampiran sungai itu untuk memantau keadaan.

“Operasi pemantauan ditamatkan awal pagi tadi selepas mendapati air sungai di paras normal,” katanya.

Oleh itu sebilangan pasukan dan aset ditempatkan di beberapa lokasi di Sungai Gabai dan Sungai Lui, bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku.

Tamat