Satu kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan lori sayur di Kilometer 345.8 Lebuh Raya Utara – Selatan arah utara di sini pada semalam membuatkan tiga lelaki cedera parah.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.10 malam itu, menyebabkan pemandu bas berusia 36 tahun dan pemandu lori berusia 40 tahun yang masing-masing patah kaki, manakala kelindan berusia 20 tahun mengalami ‘poly trauma’.

Seorang lagi kelindan iaitu remaja lelaki berusia 17 tahun dilaporkan mengalami luka ringan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, lima penumpang bas ekspres terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia 25 hingga 33 tahun selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati lori dinaiki mangsa bersama dua kelindannya yang sarat membawa muatan sayur telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan di lorong kanan.

“Kejadian itu menyebabkan bas berkenaan melanggar lori terbabit lalu terbabas hingga naik ke atas besi pembahagi jalan di tengah lebuh raya,” katanya dalam kenyataan di sini tadi.

Menurutnya, siasatan mendapati punca kemalangan disebabkan lori berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.

“Mangsa yang cedera kini mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tapah.

Tamat