“Keadaan banjir dua kali setahun ini sememangnya amat perit buat penduduk di Chenor, Pahang, ujian buat mereka, juga ujian buat kita, bukan mangsa banjir untuk tampil menghulurkan bantuan” itu kata Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad, Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Menurutnya mangsa banjir ini dekat dengan dirinya kerana tempatnya di Kuala Nerus juga sering berlaku banjir.

“Saya memahami bagaimana keadaan banjir, merasai sendiri kesukaran membina semula hidup selepas bencana banjir.

“Keadaan rumah ranap, kerosakan peralatan elektrik, kemusnahan harta benda serta ujian paling berat ialah kehilangan orang tersayang.

“Namun Alhamdulillah, hadirnya ujian ini, dengan Allah temukan kita dengan mereka ikhlas membantu, seluruh rakyat bersatu padu membantu mereka terkesan banjir,” katanya ketika Majlis Penyerahan Bantuan Pasca Banjir, di Chenor, Pahang.

Hadir sama, Ahli Parlimen Maran, Dato’ Sri Ismail Mutallib, CEO PAAB, ADUN Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak.

Melalui program berkenaan, lebih 200 penduduk Temerloh dan Chenor yang terlibat banjir diberikan bantuan.

Sementara itu, Faizal Ishak 32, berkata, dia tidak menyangka kejadian banjir pada tahun ini akan terjadi sebanyak dua kali dalam setahun.

“Saya tidak menyangka tahun lalu, kami ditimpa banjir sebanyak dua kali dalam setahun, tapi Alhamdulillah ramai sukarelawan yang datang membantu.

“Ramai dikalangan penduduk tidak menduga perkara berkenaan, tapi kebanyakkan penduduk di sini sudahpun bersiap sedia sekiranya melihat paras air sungai naik mendadak.

“Kami penduduk tempatan amat berterima kasih kepada semua yang datang menghulurkan bantuan sama ada dari segi tenaga membersihkan rumah, makanan, tempat tinggal serta wang ringgit,” katanya.

Menurutnya memang agak berat untuk mereka sekeluarga memulakan kembali kehidupan normal apabila kebanyakkan perabot, pekakas elektrik rosak.

Tamat