PETALING JAYA: Tindakan Pas mahu bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) pada masa yang sama tetap mempertahankan Perikatan Nasional (PN) ibarat dilema parti itu dalam mengendalikan ‘urusan poligami’.

Antara UMNO dan PN, Pas diterajui Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang seolah-olah lupa siapa ‘isteri dan suami’ dalam MN yang tonggak sebenar adalah UMNO, berfungsi sebagai suami kepada Pas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, hal itu terbukti apabila Pas tidak mempunyai sokongan kuat menyorot Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak yang menyaksikan parti itu tewas selain meraih undi sedikit.

Dengan kelemahan itu, katanya, Pas menyedari perlu berpaut kepada sokongan kuat daripada UMNO pada masa sama enggan melepaskan PN diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Inilah masalahnya apabila suka berpoligami. Semasa MN dimeterai, UMNO dan Pas sebagai pembangkang, mereka ikhlas bekerjasama. Ketika itu juga Bersatu adalah kerajaan.

“Apabila Pas masuk ke dalam PN dan sudah merasa kesenangan, Pas lupa kedudukannya dan siapa suami sebenar. Pas mahu dua-dua, UMNO dan Bersatu. Kalau begitu, tak payahlah MN lagi,” katanya ketika dihubungi semalam.

MN merupakan gagasan kerjasama UMNO dan Pas semasa Himpuan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019 yang antaranya memperkasakan agenda Islam, Melayu dan bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Kelmarin, Abdul Hadi menegaskan akan tetap bersama dalam MN pada masa sama mempertahankan PN, kerana Pas tidak boleh hanya menjalinkan kerjasama politik dengan UMNO bagi memecahkan fahaman asabiah. – UTUSAN ONLINE