Setelah hampir lima bulan menerajui kerajaan Keluarga Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di­jang­ka melakukan rombakan Ka­binet dan melantik Timbalan Perdana Menteri minggu ha­dapan.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, sumber berkata, keba­nyakan menteri dan timbalan menteri sudah menge­tahui perk­ara tersebut.

Bagaimanapun, sumber itu mem­beritahu, rom­ba­kan itu masih dalam pro­ses ‘ta­war-me­nawar’ untuk me­mu­tus­kan siapa kekal, siapa ganti atau siapa digugurkan.

“Minggu hadapan, belum dipu­tuskan hari apa, tetapi secara kebiasaan akan dibuat pa­da hari Rabu selepas mesyuarat Kabinet yang diadakan setiap minggu.

“Kalau mengikut jadual, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pergi berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini untuk membincangkan me­ngenai perkara ini, khususnya membabitkan menteri dan tim­­balan dalam kalangan parti Bersatu,” kata sumber ketika dihu­bungi semalam.

Setakat semalam, sumber itu memaklumkan, antara na­ma menteri yang disebut-sebut bakal terlibat ialah Menteri Pem­bangunan Keluarga, Wa­nita dan Masyarakat, Datuk Se­ri Rina Harun dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sebelum ini, nama Rina tular di media sosial dan menda­pat banyak kritikan susulan beliau yang melawat mangsa banjir me­makai kasut tumit tinggi dan membersihkan najis unggas di sebuah sekolah yang dijadikan pusat penempatan se­mentara (PPS).

Ahmad Faizal pula terpalit isu pelancaran penubuhan skuad sukarelawan pasca banjir di bawah kementerian­nya yang dikecam netizen, namun situasi sebenar perkara itu sudah dijelaskan menteri berkenaan.

Bagaimanapun, sumber tersebut memberitahu, kedudukan Ahmad Faizal masih di peringkat ‘tawar-menawar’ bagi mendapatkan kerusi Timbalan Perdana Menteri untuk parti Bersatu.

“Itu masih dalam proses, kedudukan Ahmad Faizal sedang dirunding sebab beliau adalah Timbalan Presiden Bersatu, bermakna orang kedua tertinggi dalam parti selepas Muhyiddin yang memegang kuasa dalam Kabinet.

“Tetapi jika kerusi Timbalan Perdana Menteri diberi kepada Bersatu, Ahmad Faizal digugurkan,” kata sumber itu.

Sebagai timbal-balik, menurut sumber, portfolio Menteri Belia dan Sukan akan diisi Ke­tua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
“Ini bermakna akan mengimbangi semula jumlah menteri UMNO dan Bersatu dalam Kabinet Ismail Sabri,” katanya.

Difahamkan, bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri, dua pemimpin Bersatu yang didakwa dalam pertimba­ngan ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Tetapi Muhyiddin dikatakan cenderung untuk memilih Azmin berbanding Hamzah. Jika kita sewaktu pemerintahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, beliau memberikan kepercayaan kepada Azmin untuk memangku tugas Perdana Menteri sewaktu ketiadaan beliau,” kata sumber itu.

Selain itu, ada juga khabar angin menyebut Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad turut bakal terlibat dalam rombakan.

Halimah terpalit dengan isu agihan peruntukan Unit Transfomasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) manakala Abd. Latiff Ahmad berhubung peranannya dalam bencana banjir.

Bulan lalu, Ismail Sabri memaklumkan prestasi ke­seluruhan 100 hari ahli Jemaah Menteri mencapai 90 peratus daripada sasaran ditetapkan.

Prestasi itu diukur berdasarkan Perkhidmatan Teras Kementerian (50%), Penilai­an Prestasi Menteri (25%) dan Persepsi Awam (25%) terhadap Menteri dan Kementerian.- UTUSAN