Kelantan membenarkan solat Jumaat dan fardu mengikut kapasiti masjid di seluruh negeri berkuat kuasa pada Rabu sepanjang tempoh Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pelaksanaan peraturan itu turut terpakai kepada surau dan musolla di seluruh negeri.

“Bagaimanapun, kedudukan antara jemaah adalah berdasarkan penjarakan fizikal 1.6 meter,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) masih lagi dikekalkan sebagaimana yang telah dikeluarkan sebelum ini.

Beliau berkata, MAIK mengharapkan kerjasama daripada para jemaah untuk mematuhi ketetapan ini.

Tengku Mohamad Rizam berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menutup masjid, surau dan musolla yang melanggar SOP.

“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa ALLAH SWT pasti membantu serta memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya. – SINAR