Walaupun cuma mera­ih untung 30 sen untuk setiap ekor ayam yang dijual, seorang peniaga di Pasar Bukit Besar di sini akur terhadap penetapan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Azriwana Mohamad, 41, berkata, barangan itu kekal dijual pada harga siling RM9.10 sekilogram sehingga 4 Februari depan dan tidak berhasrat menjual lebih mahal bagi mengelak sebarang tindakan yang memakan diri.

“Saya sekadar untung 30 sen kerana harga dibeli daripada pembekal ialah RM8.80 sekilogram. Saya harap tiada kenaikan harga di peringkat pembekal atau penternak dalam masa terdekat kerana keadaan sekarang sudah cukup membebankan peniaga,” katanya ketika ditemui semalam.

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan SHMKM bagi 12 jenis barangan yang sepatutnya berakhir 31 Disember lalu dilanjutkan sehingga 4 Februari 2022 sebagai langkah berterusan untuk menstabilkan harga di samping memastikan keberadaan bekalan.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati harga ayam yang dijual di Pasar Bukit Payung, Marang adalah RM11 sekilogram manakala RM13 sekilogram di Pasar Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Seorang pengguna, Nur Farihah Shafie, 38, berkata, walaupun harga kawalan sudah ditetapkan kerajaan, namun masih ada segelintir peniaga yang ingkar arahan tersebut dan menaikkan harga sesuka hati.- UTUSAN ONLINE