Siasatan awal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati sebanyak 14 peratus daripada 122 jemaah umrah yang positif jangkitan Covid-19 varian Omicron tidak mengambil vaksinasi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara itu menunjukkan berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan ke atas jemaah umrah.

“Sepatutnya hanya yang divaksinasi dibenarkan pergi (menunaikan umrah). Kita akan bincang dengan kementerian terlibat supaya agensi pelancongan dapat patuh dengan syarat kita letakkan.

“Kita juga sedang siasat sama ada mereka ini (tidak divaksinasi) disebabkan faktor kesihatan atau memang enggan divaksinasi,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen di sini hari ini.

Terdahulu, Khairy Jamaluddin berkata, Kabinet telah mengarahkan supaya penangguhan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan umrah diteruskan untuk tempoh sebulan bagi membuat penilaian risiko.

Menurut beliau, penilaian risiko semasa di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi mempertimbangkan pembukaan semula perjalanan ke Tanah Suci.

Kata beliau, kerajaan Malaysia akan turut berbincang dengan kerajaan Arab Saudi dan konsulat di negara tersebut untuk memperketatkan SOP sedia ada.

“KKM bersama agensi berkaitan akan kemas kini SOP umrah termasuk pengambilan dos penggalak sebagai syarat mengerjakan umrah, pengurusan kes dan kontek rapat di Arab Saudi.

“Pemantuan status kesihatan, memperkukuhkan tanggungjawab kepada agensi pelancongan dan memastikan pematuhan SOP umrah oleh jemaah dan petugas umrah serta melaporkan kes positif dan kontek rapat kepada KKM,” katanya.

Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan sedang berbincang dengan pihak berkaitan berhubung penjadualan semula perjalanan umrah atau bayaran balik bagi jemaah yang terkesan.

Terdahulu, beliau menafikan berlaku pilih kasih berhubung sekatan ke atas perjalanan ke Tanah Suci berbanding perjalanan ke negara lain.

Jelas beliau, kes positif Covid-19 tanpa mengira varian paling banyak di kesan di Pintu Masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam kalangan jemaah umrah.

Kata beliau, kes varian Omicron juga paling banyak datang daripada jemaah umrah, maka kerajaan terpaksa membuat keputusan menangguhkan sementara perjalanan bagi menunaikan ibadah tersebut.

Kata beliau, maklumat terbaru menunjukkan sebanyak 29 daripada 44 kes positif varian Omicron jangkitan import yang dikesan masih dari Arab Saudi.