Keadaan sedih dan sayu menyelebungi semua anggota Balai Bomba Dan Penyelamat Shah Alam apabila rakan mereka Yunuslie Julius, 28, cedera selepas kepingan konkrit terjatuh ke atas kepalanya ketika dia melakukan kerja pemadaman kebakaran di sebuah kilang pemetik api di Seksyen 22 dekat sini, petang semalam.

Siapa tidak sedih apabila terdengar suara rakan sendiri mengerang kesakitan apabila kepingan konkrit dianggarkan sebesar dua ketul bata itu terjatuh tepat di atas topi keselamatan rakan mereka kira-kira jam 4.45 petang semasa sedang melakukan kerja pemadaman di tingkat bawah bangunan berkenaan.

Kelihatan semua rakan sepasukan turun memangku Yunuslie yang rebah apabila dihempap objek berkenaan, mereka mulai bimbang dengan keadaan beliau.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata ketika kejadian, pegawai berkenaan memakai topi keledar keselamatan dan mengalami kesakitan pada bahagian tengkuk.

“Komander operasi kemudian meminta bantuan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian dan pegawai berkenaan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

“Pemeriksaan lanjut termasuk ujian x-ray dilakukan dan pegawai berkenaan dalam keadaan sedar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, sepasukan pegawai dan anggota dari BBP Shah Alam melaksanakan kerja pemadaman di kilang tiga tingkat itu selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.15 petang, membabitkan kebakaran bangunan kelas A dengan keluasan 5,000 kaki persegi yang terbakar 70 peratus.

“Punca sebenar kebakaran masih disiasat dan tiada mangsa yang terbabit,” katanya.

Tamat