Kes perbicaraan membabitkan tuduhan rasuhan dan penggubahan wang haram melibatkan Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi hari ini terpaksa dilapangkan, selepas saksi ke-12 pendakwaan tidak sihat selain ketiadaan saksi lain.

Terdahulu pada prosiding pagi, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, memberitahu mahkamah, bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azmi Tahir tidak dapat meneruskan prosiding soal balas kerana demam.

Katanya, pihak pendakwaan menerima mesej daripada Azmi pada jam 8.30 pagi, memaklumkan tidak dapat hadir kerana sakit.

“Walaupun saksi menunjukkan surat cuti sakit, pihak pendakwaan meminta beliau untuk hadir sekejap di mahkamah dan kami dapati saksi berada dalam keadaan lemah.

“Mata dan badannya kemerahan selain mempunyai suhu tinggi. Beliau demam, tapi bukan COVID-19… ianya demam biasa,” katanya.

Ahmad Akram, berkata bagi mengelak pembaziran masa mahkamah, pihak pendakwaan sudah menghubungi lima saksi lain.

“Saksi berkenaan adalah wakil firma audit KPMG Malaysia, Datuk Johan Idris; pegawai khas Najib, Datuk Wan Ahmad Shihab Wan Ismail; bekas Pengarah Bukan Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Bekas setiausaha syarikat 1MDB, Lim Poh Seng.

“Bagaimanapun, kesemua mereka tidak dapat hadir. Datuk Johan berada di London, Datuk Wan Ahmad Shihab mengalami cirit-birit, Tan Sri Ismee sedang menjalani kuarantin kerana umrah, manakala, Poh Seng perlu mengambil dos penggalak vaksin COVID-19,” katanya.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, mengarahkan pihak pendakwaan supaya bersedia dengan beberapa saksi pendakwaan lain bagi prosiding di sebelah petang.

Bagaimanapun, pada prosiding jam 2.30 petang, pihak pendakwaan memaklumkan tiada saksi pendakwaan yang lapang bagi menghadiri perbicaraan hari ini.

Ahmad Akram, berkata beliau sudah cuba menghubungi saksi pendakwaan yang lain, namun tiada siapa yang dapat hadir dalam tempoh singkat.

“Kebanyakan mereka sudah mula bekerja atau mempunyai perkara yang perlu dihadiri dan tidak boleh ditunda pada saat-saat akhir.

“Tarikh perbicaraan seterusnya sudah ditetapkan pada 26 dan 27 Januari ini. Pihak pendakwaan mempunyai empat saksi dan berjanji perkara ini tidak akan berulang,” katanya.

Najib mantan Perdana Menteri Malaysia, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Tamat