Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) semalam bersama beberapa pertubuhan yang lain melancarkan kempen dua tahun 2022-2023 mendukung perjuangan pembebasan Palestin.

Presiden MAPIM, Azmi Abdul Hamid berkata, seramai 50 peserta dari Malaysia, Thailand, Pakistan, Palestine, Indonesia, Filipina dan India terlibat dalam pelancaran yang diadakan dalam satu bengkel hari ini.

Katanya, bengkel tersebut merumuskan gerak kerja kempen yang meliputi kegiatan di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.

“Sasaran 2022-2023 adalah untuk kempen pembebasan Gaza, menekan Israel hentikan perampasan tanah dan pendudukan penempatan haram Yahudi, selamatkan Masjid Al-Aqsa dan pembebasan tahanan Palestin .

“Bengkel telah bersepakat mewujudkan sebuah sekretariat untuk menyelaraskan gerak kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bengkel di peringkat serantau itu dianjur oleh Mapim, International Insititute of Advance Islamic Studies (IAIS), Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Islam (SHURA) dan Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa (MANAR) secara hibrid.

Wakil Palestin dari Baitulmaqdis yang juga ketua Pendidikan Islam di Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr. Najih Bkeirat telah menyampaikan ucaputama melalui rakaman dari Baitulmaqdis, manakala bengkel dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pengasas IAIS, Prof. Datuk Mohammad Hashim Kamali.

Bengkel itu merumuskan gerak kerja kempen meliputi lobi kepada Parlimen, seminar dan persidangan, jelajah ke masjid, boikot serta mobilisasi massa.

Menurut Azmi, penegasan untuk menolak normalisasi dengan Israel juga telah ditetapkan termasuk juga menuntut kerajaan Malaysia agar konsisten menolak kebenaran mana-mana warga Israel untuk masuk Malaysia.

“Suatu kesepakatan telah dirumuskan supaya jaringan antarabangsa di peringkat serantau diwjudkan agar kesatuan antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkempen untuk Palestin diperkukuhkan.

“Lobi kepada kerajaan dan ahli Parlimen juga akan digerakkan untuk menekan israel agar menghentikan polisi apartheid Israel ke atas warga Palestin,” katanya. – UTUSAN