Walaubagaimanapun dikejutkan dengan varian baru Covid 19, Omicron kerajaan tetap berhasrat supaya ibadah haji tahun ini tetap dapat dilaksanakan.

Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi telah dilakukan pada Disember lalu dan setakat ini ibadah haji musim ini masih dibenarkan.

“Setakat pertemuan awal yang dibuat sebelum ini, kerajaan Arab Saudi masih benarkan ibadah haji dan kita harap varian baharu Covid-19 tidak menjadi penyebab Arab Saudi sekat jemaah tunaikan haji.

“Apa pun kita harap rakyat Malaysia terus jaga SOP (prosedur operasi standard) dan Arab Saudi sekarang terpaksa jarakkan kembali saf solat bagi mengawal jangkitan,” katanya selepas hadir ke Majlis Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu 2021 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, pada Khamis.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut Idris, keputusan haji tersebut belum muktamad dan perbincangan seterusnya akan diadakan selewat-lewatnya pada Februari nanti.

Sementara itu kata beliau, penetapan kuota jemaah haji Malaysia tahun ini juga belum diputuskan kerana Arab Saudi sedang memperincikan prosedur operasi standard (SOP) baharu.

“Biasa kuota haji seramai 30,000 dan dengan penetapan SOP baharu oleh kerajaan Arab Saudi, diharap kuota ini kekal,” katanya.

Bagi musim Haji 1442 hijrah/2021, Arab Saudi mengehadkan ibadah haji hanya untuk rakyatnya dan golongan ekspatriat yang berada di negara itu susulan pandemik Covid-19 yang belum reda.

Pada tahun 2020, Rukun Islam Kelima itu turut diadakan dengan hanya diberikan kepada penduduk setempat dan ekspatriat di Arab Saudi berikutan Covid-19.

Tamat