Raja Bomoh Malaysia, Ibrahim Mat Zain akan dikenakan tindakan akibat satu ritual bercanggah dengan ajaran Islam baru-baru ini kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata, sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berharap Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengambil tindakan tegas terhadap Ibrahim dan individu lain yang terlibat.

“Tindakan itu jelas membawa unsur yang bercanggah dengan ajaran agama Islam iaitu unsur khurafat dan tahyul yang dilakukan dalam upacara itu.

“Kita serahkan kepada pihak berkuasa agama negeri (JAIPk) mengenakan tindakan lebih tegas (kepada individu terlibat),” katanya pada sidang media selepas Program Musaadah Banjir di Pasti Nur Fatihah Kuala Balah di sini pada Khamis.

Pada Rabu JAIPk dilaporkan akan memanggil Ibrahim berhubung satu ritual kononnya bagi menolak banjir di Dataran Pengairan dan Saliran Teluk Intan yang tular menerusi rakaman video.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, selain Ibrahim, pihaknya akan memanggil individu lain yang terlibat dalam kejadian berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.

Tamat