Gara-gara bersikap biadap dan lagak samseng, semasa meminta sedekah Di ibu kota, seorang kanak-kanak dipercayai warga Rohingnya kini dicari pihak polis untuk tindakan selanjutnya

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, beberapa tindakan di bawah peruntukan undang-undang boleh dikenakan terhadap individu terlibat dalam kegiatan tersebut.

Menurutnya, Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan sesiapa yang menyebabkan atau membenarkan kanak-kanak jagaannya berada di premis atau jalanan untuk mengemis boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda mencecah RM20,000.

“Mereka juga boleh didakwa mengikut Seksyen 283 Kanun Keseksaan (bahaya atau galangan di jalan awam atau haluan pelayaran awam) hendaklah didenda yang boleh sampai RM400.

“Seksyen 27 (c) Akta Kesalahan Kecil 1955 menyatakan sesiapa yang meminta sedekah di tempat awam dan mempunyai atau boleh mencari pekerjaan yang sah untuk hidup adalah dianggap pemalas boleh didenda tidak melebihi RM100, penjara sebulan atau kedua-dua sekali,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa sahaja aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Polis menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah ke hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/585 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Tamat