Seekor harimau mengganas apabila mula membaham seorang lelaki orang asli dalam kejadian di Kampung Sau, Pos Bihai di sini pada tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Anek Along.

“Polis menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada jam 1.30 petang yang memaklumkan seorang lelaki orang asli telah dibaham harimau.

“Sebelum kejadian, mangsa bersama anak perempuannya sedang menumbuk padi huma pada jam 9.10 pagi di kawasan belakang rumah. Kemudian anak mangsa mendapati bapanya telah tiada walaupun telah dipanggil beberapa kali,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Jumaat.

Menurut Choon Foo, setelah panggilan itu tidak disahut, anak mangsa telah mencari bapanya di belakang rumah dan mendapati terdapat kesan darah pada daun-daun pokok.

Beliau berkata, anak mangsa kemudian telah memanggil dan memohon bantuan penduduk kampung untuk mencari bapanya.

Choon Foo berkata, berpandukan kesan darah pada daun-daun pokok, penduduk kampung telah ternampak harimau dan bertindak melontarkan lembing ke arah haiwan berkenaan.

“Lontaran (lembing) itu dipercayai telah mengenai harimau tersebut. Haiwan berkenaan kemudian telah melarikan diri dan penduduk kampung bergegas melaporkan perkara itu itu kepada pihak Perhilitan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai.

“Pihak kami tiba di tempat kejadian pada jam 5.40 petang dan mayat mangsa dibawa keluar menggunakan kenderaan pasukan untuk dihantar ke Hospital Gua Musang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tamat