Sebuah jentera bomba yang sedang menjalani ujian pemanduan terbalik di persimpangan lampu isyarat di Jalan Lipat Kajang di sini, pagi tadi.

Kejadian jam 11.55 pagi itu mengakibatkan penolong pemandu lori tangki air berkenaan luka kecil di kepala, manakala pemandunya tidak tercedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari, Penolong Penguasa Bomba Rahizam Ruzali, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.56 pagi sebelum enam anggota dan pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika kejadian, pemandu dan penolong pemandu sedang menjalani ujian pemanduan jentera yang dijadualkan setiap Ahad.

“Kemalangan dipercayai berlaku sebaik jentera melalui persimpangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, penolong pemandu cedera ringan, manakala pemandu jentera yang tidak cedera turut dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.

Beliau berkata, penolong pemandu hanya luka kecil di kepala dan masih dalam pemantauan doktor.

“Siasatan masih dijalankan bagi mendapatkan punca sebenar kejadian,” katanya.