Hanya rasa syukur dapat diungkapkan kini selepas hampir seminggu berdepan dengan keadaan banjir di Johor.
Mengikut statistik jumlah mangsa menurun kepada 3,714 orang daripada 1,063 keluarga di 47 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 8 pagi ini.
Berbanding 8 malam tadi, seramai 3,720 mangsa daripada 1,060 keluarga ditempatkan di 49 PPS.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, Segamat terus menunjukkan perkembangan positif dengan 1,674 mangsa daripada 455 keluarga ditempatkan di 26 PPS, pagi ini.
Katanya, ia berbanding hanya 1,715 mangsa daripada 468 keluarga ditempatkan di 28 PPS, malam tadi.
“Bagaimanapun, tiga daerah menunjukkan peningkatan sedikit meliputi Tangkak dengan 712 mangsa daripada 217 keluarga di sembilan PPS, pagi ini, berbanding 705 mangsa daripada 208 keluarga di sembilan PPS, malam tadi.
“Selain itu, Muar pula mencatatkan 1,190 mangsa daripada 356 keluarga di 10 PPS, pagi ini, berbanding 1,178 mangsa daripada 351 keluarga di 10 PPS, malam tadi.
“Turut bertambah adalah Batu Pahat dengan 133 mangsa daripada 35 keluarga di dua PPS, pagi ini, berbanding 122 mangsa daripada 33 keluarga di dua PPS, malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mengikut data Jabatan Pengairan dan Saliran Johor, empat sungai di kawasan terjejas banjir masih berada pada paras bahaya.
Tamat