Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelbagai bantuan banjir yang dihantar kerajaan kepada penduduk terjejas tiada kaitan dengan pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata adalah menjadi tanggungjawab serta tugas kerajaan untuk membantu setiap rakyat yang memerlukan bantuan.

“Bukan sahaja kerajaan pusat, malah kerajaan negeri juga sangat membantu. Terima kasih kepada kerajaan Negeri Pahang kerana memberi bantuan wang tunai (RM500) kepada mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berakhirnya majlis sumbangan dan bantuan khas banjir di Dewan Majlis Daerah Bera.

Mengulas tindakan individu tertentu yang mengambil kesempatan menipu mangsa banjir bagi mendapatkan bantuan, Ismail Sabri berkata kerajaan mempunyai kaedah untuk mengenal pasti mangsa yang benar-benar terjejas.

“Pegawai Daerah akan bekerjasama dengan ketua kampung untuk mengenal pasti setiap mangsa yang terlibat dalam bencana banjir.

“Sebab itu kita perlukan kerjasama setiap ketua kampung kerana semua yang mengenali mangsa terlibat. Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan membuat pengesahan dengan pejabat pegawai daerah,” katanya.

Pada masa sama, beliau tidak mahu memberi amaran kepada pihak yang mengaku mangsa banjir dan sengaja mengambil kesempatan untuk menipu.

“Saya tidak mahu memberi amaran kepada sesiapa, cuma kita perlu berterus terang,” katanya.