Pengintip dan pembunuh pensyarah Palestin, Dr. Fadi Mohammed Al Batsh dikatakan telah ditahan di Gaza.
Perkara ini dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dalam hantaran terbaharunya di Facebook, pagi ini.
“Berita tersebar pagi tadi bahawa pengintip dan pembunuh Imam Fadi Al-Batsh di Kuala Lumpur pada 2018 berjaya ditangkap di Gaza oleh pihak keselamatan,” jelasnya.
“Pembunuh tersebut masuk ke Gaza dan menghubungi pihak penjajah untuk meminta duit. Perbualannya diintip pihak keselamatan Gaza dan ditangkap. Dia memaklumkan membunuh Imam Fadi bersama lelaki lain di KL ketika itu”. ujar beliau.
Sebelum ini laporan menyebut, pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) pada 2018 itu dipercayai didalangi Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel iaitu Mossad, kata Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash.
Beliau yang mengeluarkan kenyataan itu berkata, dua suspek menaiki motosikal jenis BMW yang melepaskan tembakan jarak dekat berkenaan dipercayai ejen Mossad yang berada di Malaysia.