Ketika negara bergelut dengan varian baharu Covid-19, namun seorang doktor klinik swasta di Marang cuba mengambil kesempatan menangguk di air keruh dengan menawarkan khidmat menjual sijil vaksinasi palsu.

Tembelang doktor antivaksin berusia 51 tahun itu terbongkar apabila dia ditahan melakukan perbuatan tidak beretika tersebut di sebuah rumah di Kampung Mengabang Tengah di sini, kira-kira pukul 7.34 malam, kelmarin.

Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sejak September lalu selepas premisnya diberikan kebenaran mengendalikan suntikan vaksinasi secara berbayar.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, lebih 1,900 sijil vaksinasi Covid-19 dikeluarkan kepada pelanggan termasuk dari Kuala Lumpur, Pahang, Kedah dan Johor dengan kadar bayaran antara RM400 hingga RM600 seorang.

“Perkhidmatan penipuan sijil vaksinasi ini dilakukan suspek secara bersendirian di kliniknya dengan kebanyakan urusan dilakukan secara dalam talian termasuk melalui e-mel.

“Berdasarkan pengakuan awal, dia mengakui merupakan golongan antivaksin, malah turut melantik ejen dengan membayar komisen sebanyak RM50 bagi setiap satu sijil palsu yang dikeluarkan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Rohaimi berkata, suspek yang merupakan doktor bertauliah itu dipercayai sudah 20 tahun mengoperasikan klinik swasta berkenaan.

Katanya, polis turut merampas barangan termasuk satu set dokumen borang persetujuan suntikan Covid-19 diikuti 97 keping kad peringatan vaksinasi, satu set fail invois Sinovac, tiga set dokumen status vaksinasi di samping komputer riba bagi disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu menurutnya, siasatan awal yang dijalankan ke atas enam kakitangan klinik swasta berkenaan mendapati mereka tidak terlibat dalam kegiatan pemalsuan sijil vaksinasi tersebut.

“Sebarang janji temu suntikan vaksin diuruskan suspek bersendirian, malah dokumen berkaitan turut disimpan di dalam laci di biliknya tanpa campur tangan pekerja lain,” katanya.

Bagaimanapun Rohaimi berkata, polis dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri masih lagi mengesan adakah lebih 1,900 individu yang mendapatkan khidmat suntikan vaksinasi Covid-19 di klinik berkenaan benar-benar disuntik atau hanya mendapatkan sijil palsu.