Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan Dana Bangkit Semula Keluarga Agro berjumlah RM100 juta dan Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan berjumlah RM80 juta serta Tabung Bencana Tanaman Padi berjumlah RM12 juta untuk membantu Wira Agro yang terkesan.

Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, jumlah berkenaan bagi membina semula industri tani serta kelangsungan makanan di Malaysia selepas berhadapan dengan bencana alam terburuk tahun lalu.

“Selepas kajian dibuat, MAFI mendapati 5,500 pengusaha industri agromakanan atau Wira Agro melibatkan semua subsektor agromakanan terjejas akibat banjir yang melanda seluruh negara dengan anggaran kerugian berjumlah RM67.72 juta.

“Jumlah itu berdasarkan laporan diterima sehingga 3 Januari dan Selangor mencatatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM11.88 juta membabitkan 851 orang Wira Agro.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui pelbagai jabatan dan agensi terus melaksanakan penilaian bagi mengenal pasti kerugian sebenar dialami oleh golongan sasar yang terkesan,” katanya ketika ditemui pemberita dalam program menyantuni Wira Agro di Hulu Langat lalu.

Menurutnya beliau berharap, bantuan berkenaan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi petani, penternak, dalam usaha memastikan bekalan makanan tidak putus

“Saya berharap bantuan ini akan memberi nafas baharu kepada Wira Agro untuk bangkit semula di samping memastikan sekuriti makanan Keluarga Malaysia terus terjamin,” katanya. –

Tamat