Silap banyak, itu yang dapat digambarkan apabila seorang lelaki dipercayai meminta rasuah lebih RM2,000 dalam usaha mendapatkan sijil vaksin secara penipuan Oktober lalu.
Tindakan berkenaan membawa padah apabila dia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 1.30 petang Selasa di pejabat SPRM Kota Kinabalu susulan operasi yang dilancarkan di daerah ini.
Sindiket ini menggunakan modus memberikan wang rasuah yang diterimanya daripada orang awam kepada sukarelawan yang bertugas di salah sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) di sekitar negeri ini.
Wang itu sebagai balasan untuk mendaftarkan penama-penama yang tidak menerima suntikan dos vaksin Covid-19 bagi mendapatkan sijil digital vaksinasi di dalam sistem MySejahtera.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi pada Selasa mengesahkan penahanan lelaki terbabit.
“Suspek disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.
“Permohonan reman dijangka akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu,” jelasnya.
Tamat