NEW YORK: Seorang lelaki di Maryland menjadi lelaki pertama di dunia dalam sejarah perubatan apabila menjalani pembedahan pemindahan jantung babi dan sudah tiga hari hidup dengan jantung haiwan itu.

USA Today melaporkan, pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Maryland menunjukkan kali pertama babi yang diubah suai genetiknya ‘digunakan sebagai penderma organ’.

Dave Bennett, 57, bersetuju untuk menjadi manusia pertama yang mempertaruhkan pembedahan percubaan itu, dengan harapan ia akan memberi peluang kepadanya untuk meneruskan kehidupan.

“Ini adalah satu keajaiban,” kata anaknya, David Ahad.

Dalam pembedahan selama sembilan jam itu, doktor menggantikan jantungnya dengan jantung daripada babi berusia satu tahun.

Bennett bernafas sendiri tanpa ventilator, walaupun dia masih menggunakan mesin ECMO yang melakukan kira-kira separuh tugas mengepam darah ke seluruh badannya.

Para saintis telah menjalankan kajian selama beberapa dekad untuk memikirkan cara menyelamatkan nyawa manusia dengan organ haiwan.

Lebih daripada 100,000 orang duduk dalam senarai menunggu pemindahan organ, mengalami gejala dan kesan sampingan yang teruk.

Kira-kira 6,000 daripada mereka mati setiap tahun menunggu orang lain untuk memberikan mereka buah pinggang, jantung atau paru-paru.

Menurut saintis, babi mempunyai organ yang serupa dengan manusia.