Seorang doktor menerima padah apabila melanggar kod etika kedoktoran dengan menjual sijil vaksin palsu bagi meraih keuntungan.

Akibat itu suspek berkenaan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Marang, dilanjutkan perintah reman di Mahkamah Majistret Marang, jam 9.30 pagi sehingga Khamis ini

Perintah tahanan reman terhadap suspek dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda selepas tempoh reman selama dua hari bermula Ahad lalu berakhir pada Selasa.

Perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 420 dijalankan terhadap suspek.

Polis Terengganu pada Isnin membongkar kegiatan seorang doktor antivaksin mengeluarkan sijil vaksinasi palsu kepada individu yang enggan disuntik vaksin Covid-19.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, suspek ditahan sepasukan polis di Kampung Mengabang Tengah di Kuala Nerus pada Sabtu susulan maklumat daripada orang awam berhubung aktiviti terbabit.

Menurutnya, penjualan sijil vaksin palsu itu dipromosikan dan dijalankan secara dalam talian kepada golongan antivaksin selain mengupah beberapa ejen dengan bayaran RM50 bagi setiap pelanggan.

Beliau berkata, klinik swasta yang mengendalikan suntikan vaksinasi secara berbayar sejak September lalu menawarkan bayaran antara RM400 hingga RM600 kepada pelanggan.

Katanya, sepanjang tempoh itu, lebih 1,900 sijil vaksinasi Covid-19 dikeluarkan kepada pelanggan termasuk dari Kuala Lumpur, Pahang, Kedah dan Johor.

Tamat